SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan kategori barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan memasukkan makanan sejuk beku, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun ini.
“Bermula hari ini, 9 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026, seramai 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad.
“Ramai meminta supaya kategori barangan diperluaskan, jadi kerajaan bersetuju memasukkan makanan sejuk beku sebagai barangan SARA,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, walaupun nilai bantuan itu kecil bagi setiap individu, kesannya besar kerana melibatkan semua lapisan rakyat.
“Bayangkan 22 juta orang menerima bantuan ini. Ini peringkat kedua SARA untuk semua. Jumlahnya mungkin kecil, tetapi kita mahu bantu semua.
“Jika digabungkan dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM15 bilion,” katanya.
Namun, beliau menegaskan kerajaan tetap berdisiplin dalam pengurusan kewangan dan tidak mahu berbelanja berlebihan hingga menjejaskan kedudukan fiskal negara.
“Kita mahu bantu rakyat, tetapi kita juga perlu berbelanja dengan cermat. Kita tidak mahu defisit yang tidak terkawal,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bantuan SARA juga mengambil kira keperluan rakyat menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Ramadan.




