SHAH ALAM, 8 FEB: Seramai 22 juta rakyat Malaysia bakal menerima manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang bermula esok, sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan kos sara hidup.
Menurut Kementerian Kewangan, bantuan RM100 secara one-off itu boleh digunakan oleh penerima layak bagi membeli barangan keperluan asas di bawah inisiatif SARA.
“Penerima hanya perlu membawa MyKad untuk membuat pembelian di lebih 10,000 kedai runcit dan pasar raya terpilih di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan memaklumkan pelaksanaan SARA Untuk Semua bertujuan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup semasa.
Orang ramai disaran menyemak kelayakan serta maklumat lanjut melalui laman web rasmi sara.gov.my.


