SHAH ALAM, 8 FEB: Persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kerja penaiktarafan venue mencapai kira-kira 80 peratus setakat ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata keseluruhan kerja pembaikan dan naik taraf fasiliti berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan oleh sekretariat penganjuran.
Menurutnya, semua lokasi pertandingan yang terlibat dijangka dapat disiapkan sepenuhnya selewat-lewatnya Mei ini, sebelum temasya berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.
“Saya dimaklumkan oleh pihak sekretariat semua persiapan SUKMA berjalan dengan baik dan ‘on track’ termasuk kerja menaik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan dan Lapang Sasar Menembak Subang antara dua lokasi utama dan dua fasiliti besar yang sedang dinaik taraf.

“Anggaran hampir 80 peratus dan kerja naik taraf semua venue paling awal kita boleh lengkapkan menjelang Mei nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi dan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najwan berkata Kontinjen Selangor menyasarkan kutipan kira-kira 80 pingat emas pada kejohanan SUKMA 2026 selain sasaran juara keseluruhan.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkata atlet negeri itu disasar muncul juara dalam 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan.

Mohamad Nizam Marjugi berkata acara renang bakal menjadi lubuk mengutip emas selain menyasarkan sumbangan pingat sama dari sukan olahraga, menembak serta berbasikal.
Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor berjaya melepasi sasaran menduduki tempat tiga teratas dengan kutipan 181 pingat iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala PARA SUKMA Selangor berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026.
Sejumlah 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.







