SUBANG JAYA, 7 FEB: Lebih 10,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Invest Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini malam ini.
Majlis yang berlangsung meriah di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong itu turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad.
Hadir sama barisan EXCO, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan, serta ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Walaupun hujan renyai dan majlis kemuncak bermula sekitar 8.30 malam, keadaan itu tidak menghalang orang ramai terus membanjiri lokasi sambutan.

Pengunjung yang hadir turut menikmati pelbagai hidangan makanan, antaranya sate, kambing bakar, murtabak, cheong fun, nasi goreng serta pelbagai jenis minuman.
Sejurus ketibaan Amirudin dan isteri kira-kira 8.45 malam, majlis dihiburkan dengan persembahan tarian singa, diikuti acara menggaul campur beras sebagai simbol kesejahteraan dan kemakmuran.
Selesai acara tersebut, Amirudin turut menyempurnakan gimik perasmian pembinaan pencahayaan di taman rekreasi berkenaan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM1,000 oleh MBSJ kepada setiap badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Sambutan itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan sepanjang malam termasuk tarian kebudayaan, muzik secara langsung, tarian jalanan dan singa, persembahan wayang kulit, pertunjukan cahaya serta bunga api.



