SHAH ALAM, 8 FEB: Persatuan Muay Thai Selangor mengharapkan sokongan dana daripada Kerajaan Negeri dan penajaan sektor swasta bagi memperkukuh pembangunan sukan itu di negeri ini.
Presidennya, Muhammad Amir Luqman Rohaidi, berkata sokongan berterusan amat diperlukan memandangkan Selangor masih berada pada peringkat awal pembangunan sukan itu berbanding negeri lain.
“Justeru, sokongan berterusan amat diperlukan bagi memastikan sukan ini mampu berkembang secara lebih sistematik.
"Kita berharap ada peruntukan dana daripada Kerajaan Negeri dan juga sokongan penajaan bagi membolehkan pembangunan muay thai Selangor digerakkan dengan lebih menyeluruh,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Selangor Muay Thai League 1.0 yang dirasmikan EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi di sini, semalam.

Muhammad Amir berkata, penganjuran Selangor Muay Thai League 1.0 merupakan liga julung kali dianjurkan hasil kerjasama Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
Menurutnya, kejohanan itu menjadi platform penting bagi mencungkil dan mengasah bakat baharu dengan penyertaan peserta berusia antara tujuh hingga 30 tahun, merangkumi kategori berat 20 kilogram (kg) hingga 95 kg.
“Penganjuran liga ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada atlet, selain menjadi medan persaingan sihat untuk mengenal pasti potensi sebenar bakat muay thai Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin sasaran empat pingat emas bagi acara muay thai pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada Ogos ini mampu direalisasikan.
“Selangor memiliki ramai atlet berpotensi dan berkualiti. Dengan persiapan rapi serta sokongan yang mencukupi, saya yakin sasaran itu boleh dicapai,” katanya.


