Selangor Muay Thai platform cungkil bakat akar umbi, lahir wakil SUKMA

7 Feb 2026, 7:00 AM
Selangor Muay Thai platform cungkil bakat akar umbi, lahir wakil SUKMA
Selangor Muay Thai platform cungkil bakat akar umbi, lahir wakil SUKMA
Selangor Muay Thai platform cungkil bakat akar umbi, lahir wakil SUKMA
Selangor Muay Thai platform cungkil bakat akar umbi, lahir wakil SUKMA

SHAH ALAM, 7 FEB: Seramai 250 peserta menyertai Selangor Muay Thai League 1.0 yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor di Seksyen 25, di sini hari ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, penganjuran liga berkenaan menjadi platform awal untuk mengenal pasti serta mencungkil bakat baharu sukan muay thai khususnya di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, majoriti peserta berusia antara tujuh hingga 30 tahun dan kebanyakannya berasal dari Selangor, selain terdapat beberapa atlet jemputan dari Sarawak yang turut mengambil bahagian.

Katanya, acara itu mempertandingkan kategori bermula 20 hingga 95 kilogram (kg) melibatkan pelbagai peringkat umur dan tahap kemahiran atlet.

“Liga ini julung kali dianjurkan sebagai platform untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu dalam sukan muay thai khususnya di peringkat akar umbi.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berucap ketika majlis perasmian Selangor Muay Thai League 1.0 di Glorious Fight Club, Seksyen 25, Shah Alam pada 7 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Melalui penganjuran ini juga kita mahu melihat potensi atlet yang boleh dibangunkan secara berperingkat untuk diketengahkan sebagai wakil Selangor, termasuk ke pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Ogos ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Selangor Muay Thai League 1.0 yang diadakan di Glorious Fight Club, Seksyen 25 di sini hari ini.

Menurut Mohd Najwan, Selangor Muay Thai League 1.0 juga menjadi langkah awal Kerajaan Negeri untuk mengaktifkan pembangunan muaythai secara lebih tersusun dan kompetitif.

Jelasnya, ia merupakan permulaan kepada usaha jangka panjang bagi memperkukuh ekosistem muay thai di Selangor sekali gus memastikan kesinambungan atlet berkualiti untuk mewakili negeri pada masa akan datang.

“Kita akan memastikan sukan muay thai ini diteruskan dari segi latihan termasuk Kerajaan Negeri juga akan memantau dan membantu dengan memberi sokongan kepada persatuan muaythai yang aktif di Selangor.

“Atlet ini juga akan terlibat dalam beberapa kejohanan kebangsaan dan antarabangsa meski temasya SUKMA sudah berakhir nanti, ini bermakna pembangunan sukan muay thai tetap diteruskan, tidak hanya untuk SUKMA semata-mata,” katanya.