KPM ikut nasihat KKM tangani kes tibi libatkan murid sekolah

7 Feb 2026, 12:41 PM
KPM ikut nasihat KKM tangani kes tibi libatkan murid sekolah

SHAH ALAM, 7 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi sepenuhnya panduan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu penularan tuberkulosis (tibi) yang melibatkan murid sekolah di daerah Kota Tinggi, Johor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata setakat ini keadaan masih berada dalam kawalan dan kes berkenaan sedang dipantau secara rapi oleh KKM.

“Jadi, kami akan ikut semua arahan yang diberikan oleh KKM,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada KPM akan mengesyorkan saringan kesihatan dilakukan di semua sekolah bagi mengelak penularan penyakit berjangkit itu seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Nibong Tebal yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di Nibong Tebal.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, sebarang langkah susulan akan dilaksanakan berdasarkan penilaian serta keperluan semasa yang ditetapkan pihak berkuasa kesihatan.

Media sebelum ini melaporkan enam murid di daerah Kota Tinggi disahkan menghidap tibi hasil saringan kontak rapat yang dijalankan oleh KKM.

Bagaimanapun, setakat ini tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan kes berkenaan, dan operasi persekolahan berjalan seperti biasa.