MPAJ tawar RM3 tangkap seekor tikus

7 Feb 2026, 10:07 AM
MPAJ tawar RM3 tangkap seekor tikus

AMPANG JAYA, 7 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan ganjaran RM3 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap sebagai usaha menggalakkan penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata kempen berkenaan dilaksanakan bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengawal risiko penyakit bawaan haiwan, khususnya di kawasan tumpuan awam.

“Kita mengambil pendekatan proaktif supaya isu-isu bawaan tikus ini dapat dikawal dari awal.

"Hari ini kita memilih kawasan yang signifikan, iaitu kawasan tumpuan awam di Pasar Pandan Jaya,” katanya selepas melancarkan Kempen Membasmi Tikus 2026: Usaha Bersepadu Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Bandar, pagi tadi.

Menurut beliau, walaupun masalah kehadiran tikus di Ampang masih terkawal, langkah pencegahan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat terus terpelihara.

Tambahnya, kempen itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran awam, malah memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan penduduk untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan bebas daripada risiko penyakit.

Turut hadir Ahli Majlis Zon 16, Koh Eng Kee, serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ, Khairilazhar Ismail, bersama barisan Ahli Majlis.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan sesi taklimat kesihatan oleh Ahli Kaji Serangga Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, selain pameran dan aktiviti gotong-royong bersama komuniti setempat.