30 tahun Pameran Terbuka Galeri Shah Alam, simbol kematangan seni visual Selangor

9 Feb 2026, 3:00 AM
30 tahun Pameran Terbuka Galeri Shah Alam, simbol kematangan seni visual Selangor
30 tahun Pameran Terbuka Galeri Shah Alam, simbol kematangan seni visual Selangor
30 tahun Pameran Terbuka Galeri Shah Alam, simbol kematangan seni visual Selangor

SHAH ALAM, 8 FEB: Tiga dekad lalu, Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) bermula sebagai sebuah platform untuk memperkenalkan karya seni visual tempatan.

Hari ini, pameran sama berdiri sebagai simbol kematangan dan ketekunan landskap seni visual negara menerusi penganjuran edisi ke-30 bersempena sambutan Jubli Mutiara.

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Dato’ Munasor Aliyasak menyifatkan perjalanan 30 tahun PTGSA sebagai satu pencapaian yang amat signifikan dalam landskap seni visual negara.

“Tiga dasawarsa perjalanan PTGSA bukan sahaja mencerminkan kesinambungan sebuah institusi seni, malah membuktikan komitmen yang konsisten dalam memartabatkan seni halus sebagai wadah pemikiran, ekspresi dan refleksi masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian PTGSA di sini, kelmarin.

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Dato’ Munasor Aliyasak berucap sempena majlis perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) Edisi Jubli Mutiara 30 Tahun di Galeri Shah Alam, Shah Alam pada 7 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, penganjuran PTGSA selama tiga dekad turut melambangkan kematangan ekosistem seni visual tempatan, seiring dengan perkembangan pemikiran dan ekspresi seni kontemporari.

“Edisi Jubli Mutiara ini wajar diraikan sebagai simbol kematangan, seumpama mutiara yang terhasil melalui proses kesabaran, ketekunan dan masa yang panjang sebelum menyerlahkan keindahannya,” katanya.

Pameran anjuran Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform seni visual paling konsisten di Selangor sejak diperkenalkan pada 1991, sekali gus mencerminkan evolusi dan kematangan landskap seni moden serta kontemporari tempatan.

Edisi kali ini menampilkan 58 karya terpilih daripada 237 penyertaan, merangkumi disiplin catan, arca, seni cetak dan media baharu.

Gabungan pengkarya mapan dan bakat muda memperlihatkan kepelbagaian medium, pendekatan serta gagasan kreatif yang responsif terhadap realiti semasa.

Mengulas peranan PTGSA sebagai platform seni yang inklusif, Munasor berkata pameran berkenaan menghimpunkan penggiat seni daripada pelbagai latar belakang untuk berkarya dan berkongsi pengalaman.

Pengunjung melihat hasil karya seni ketika Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) Edisi Jubli Mutiara 30 Tahun di Galeri Shah Alam, Shah Alam pada 7 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“PTGSA berfungsi sebagai sebuah platform yang menghimpunkan perupa mapan dan bakat baharu untuk berkarya, bersaing secara sihat serta saling memperkaya pengalaman,” katanya.

Seni dan teknologi bergerak seiring

Sebagai langkah persediaan ke arah masa depan industri kreatif, PTGSA edisi kali ini turut memperkenalkan penerapan eksperimental teknologi Augmented Reality (AR) terhadap karya-karya terpilih.

Inisiatif kolaborasi antara Galeri Shah Alam dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu membuka dimensi baharu pengalaman apresiasi seni yang lebih interaktif, selari dengan trend global, di samping memperkukuh ekosistem seni visual serta merapatkan hubungan antara seni, teknologi dan khalayak.

Mengulas peranan seni dalam konteks masyarakat, Munasor menegaskan seni tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui bentuk visual.

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Dato' Munasor Aliyasak (tengah) melawat karya seni sempena Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) Edisi Jubli Mutiara 30 Tahun di Galeri Shah Alam, Shah Alam pada 7 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Seni bukan sekadar dinilai melalui bentuk visual, tetapi turut menjadi cerminan akal budi, identiti dan peradaban sesebuah masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pameran seni dalam membina kefahaman awam terhadap seni visual.

“Pameran seperti PTGSA memainkan peranan penting dalam membina wacana seni, mendidik khalayak serta memperkukuh ekosistem seni visual negara,” ujarnya.

Pameran tersebut berlangsung dari 21 Januari hingga 22 Mei ini di Galeri Shah Alam.