JPJ keluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3 juta terhadap pemandu warga asing

6 Feb 2026, 3:12 PM
JPJ keluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3 juta terhadap pemandu warga asing

SHAH ALAM, 6 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3 juta terhadap pemandu warga asing sejak 2023 hingga 2025.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata Ops Pemandu Warga Asing (Ops PEW) akan dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang jalan raya, lapor Harian Metro.

"Berdasarkan rekod dari 2023 hingga 2025, JPJ sudah menyita 15,789 kenderaan yang dipandu oleh warga asing.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 482,742 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang serius dan berulang dengan jumlah kutipan sebanyak RM25.3 juta.

"Berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan, warga asing Rohinya, Bangladesh, Indonesia, Timur Tengah, India dan China adalah warga yang paling tinggi dikenakan tindakan dengan jumlah keseluruhan seramai 462,835 orang," katanya pada sidang media Ops PEWA di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, warga asing seperti Thailand dan Singapura menjadi antara yang terbanyak dikenakan saman, sekali gus membuktikan keperluan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, menyeluruh dan tidak selektif.

Menurutnya, JPJ menegaskan pemandu warga asing yang melanggar undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian, termasuk saman, sitaan kenderaan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan sedia ada.

"JPJ juga memberi amaran keras kepada majikan dan pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen sah.

"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas turut diambil terhadap pihak terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi sepenuhnya.

"Ops PEWA akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan jalan raya negara tidak digadai dan tidak dipertaruhkan oleh mana-mana pihak," katanya.