45,000 rayuan MRSM Tingkatan Satu, hanya 250 kekosongan ditawarkan

6 Feb 2026, 11:12 AM
45,000 rayuan MRSM Tingkatan Satu, hanya 250 kekosongan ditawarkan
45,000 rayuan MRSM Tingkatan Satu, hanya 250 kekosongan ditawarkan

SHAH ALAM, 6 FEB: Lebih 45,000 rayuan diterima bagi kemasukan ke Tingkatan Satu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi persekolahan tahun ini, namun hanya 250 kekosongan ditawarkan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jumlah permohonan kali ini disifatkan luar biasa memandangkan kadar penolakan tawaran sangat rendah.

“Tempat kekosongan MRSM Tingkatan Satu hanya 250, sedangkan jumlah rayuan melebihi 45,000. Permohonan kali ini memang luar biasa ramai dan amat sedikit pelajar menolak tawaran.

“Syukurlah kepada yang berjaya, manakala yang tidak terpilih diharapkan bersabar kerana pasti ada hikmah lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau memaklumkan penempatan pelajar Tingkatan Satu di 58 MRSM seluruh negara adalah seramai 7,580 orang, dengan jumlah permohonan keseluruhan melebihi 100,000.

Menurutnya, hanya 250 pelajar menolak tawaran atau menarik diri selepas pendaftaran dibuat, sekali gus membuka ruang kepada kekosongan yang terhad.

“Jumlah akhir pelajar yang menolak tawaran atau keluar MRSM hanyalah 250 orang, sedangkan rayuan yang diterima mencecah lebih 45,000,” katanya.