SHAH ALAM, 5 FEB: Kes Tuberkulosis (Tibi) yang dikesan dalam kalangan murid sekolah di Kota Tinggi berada dalam kawalan, dengan pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, memaklumkan tiada keperluan untuk menutup sekolah setakat ini.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap kontak rapat mengesahkan enam murid dijangkiti Tibi, melibatkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan
“Murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin, menerima rawatan sewajarnya dan kini dipantau rapi mengikut prosedur kesihatan KKM,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah turun ke sekolah terlibat bagi memberi penerangan kepada pihak pengurusan, murid dan ibu bapa mengenai penyakit Tibi serta langkah pencegahan.
Aznan turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan menegaskan semua sekolah perlu mematuhi garis panduan KKM.
Terdahulu, KKM mengesahkan satu kluster Tibi di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu, dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan terhadap 804 kontak rapat setakat 4 Februari.


