SHAH ALAM, 5 FEB: Daerah Hulu Selangor merekodkan tujuh kejadian kebakaran semalam, membabitkan kawasan kebun, ladang, hutan, belukar serta kawasan perindustrian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata selain faktor cuaca panas, tindakan segelintir pihak melakukan pembakaran terbuka seperti membakar sampah dan semak turut menjadi punca utama kejadian.
"Kebakaran besar yang berlaku di Kawasan Perindustrian Rasa petang semalam adalah kesan langsung daripada pembakaran sisa pembersihan pokok dan sampah. Insiden sama dilaporkan berulang hari ini di Jalan Kenanga 6, Bukit Beruntung.
"Masih terdapat pihak yang sengaja membakar sampah serta sisa penebangan pokok tanpa memikirkan risiko. Cuaca panas, kering dan berangin ketika ini menyebabkan api merebak dengan pantas dan sukar dikawal," katanya menerusi kenyataan.
Sepanjang tempoh semalam, anggota BBP Bukit Sentosa dan BBP Kuala Kubu Bharu dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikerahkan ke beberapa lokasi kritikal.
Antara lokasi terlibat adalah;
1. Jalan Peretak: 15 ekar hutan terbakar
2. Hulu Tamu, Batang Kali: 5 ekar kawasan hutan
3. Bukit Beruntung: 3 ekar belukar (termasuk kejadian berulang di Jalan Kenanga 6)
4. Jalan Zurah 5, Rasa: 3 ekar semak dan lalang (kejadian berulang)
5. Taman Desa Rening Jaya: 2 ekar hutan
6. Taman Seruling: 1 ekar belukar
7. Kawasan Perindustrian Rasa: Kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah
Sehubungan itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai agar lebih peka dan mematuhi larangan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Pemantauan serta penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti yang boleh mengancam keselamatan awam dan alam sekitar," tegasnya.
Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan Bomba 999 atau Hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 1-800-88-2727.









