SUKMA 2026: Hoki wanita Selangor perhebat latihan, fokus sains sukan dan mental atlet

5 Feb 2026, 7:28 AM
SUKMA 2026: Hoki wanita Selangor perhebat latihan, fokus sains sukan dan mental atlet
SUKMA 2026: Hoki wanita Selangor perhebat latihan, fokus sains sukan dan mental atlet

SHAH ALAM, 5 FEB: Pasukan Hoki Wanita Selangor mengorak langkah agresif dalam misi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan memperhebat latihan berfokus serta sokongan sains sukan bagi memacu prestasi atlet ke tahap optimum.

Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memaklumkan, kekuatan mental turut menjadi fokus utama apabila atlet mengikuti sesi Psychology Talk di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu.

"Sesi disampaikan Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi bertujuan memperkukuh aspek mental dan psikologi atlet sebagai sokongan kepada prestasi serta pembangunan menyeluruh pasukan," menurut MSN Selangor di Facebook.

Turut hadir pada sesi itu adalah Penolong Pengarah Bahagian Sains Sukan MSNS, Harlisa Rozikin.

Usaha mempertingkat prestasi diteruskan menerusi sesi 'Nutrition Talk' bersama Sports Nutrition Academy (SNAc) yang turut berlangsung di lokasi sama.

Seterusnya, pada 2 Februari, para pemain menjalani sesi ujian kecergasan di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Ujian kecergasan ini dijalankan bagi menguji tahap kecergasan atlet yang berada di dalam Program Persediaan SUKMA," tambahnya.

SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan hampir 300 acara dari 5 hingga 14 September.

Sebanyak 52 lokasi pertandingan di sembilan daerah akan digunakan, melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta, termasuk Velodrom Nasional Negeri Sembilan.

Larian obor SUKMA dijangka bermula pada April ini, merentasi kesemua sembilan daerah di Selangor, bagi memeriahkan lagi sambutan temasya sukan terbesar di negeri ini.