SHAH ALAM, 5 FEB: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes amang seksual fizikal membabitkan pelajar lelaki berusia 13 tahun yang didakwa dilakukan guru sebuah sekolah di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata laporan berkenaan dibuat oleh bapa mangsa pada jam 12.27 tengah hari, 3 Februari lalu.
“Pengadu memaklumkan anaknya mengenali suspek yang merupakan guru di sekolah berkenaan dan mendakwa telah beberapa kali diliwat oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.
Beliau berkata suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut Mohamad Lazim, semakan mendapati suspek pernah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan bagi dua kes terdahulu yang melibatkan mangsa berbeza.


