Rujukan hukum agama berteras mazhab di hujung jari

5 Feb 2026, 11:14 AM
Rujukan hukum agama berteras mazhab di hujung jari

Dalam dunia digital masa kini, kecerdasan buatan atau AI bukan lagi benda asing, malah ia jadi ‘rakan’ harian ramai orang dalam mencari maklumat dan menyelesaikan pelbagai urusan.

Dengan hanya menaip beberapa arahan ringkas, AI generatif seperti ChatGPT, Gemini atau Copilot mampu memberikan jawapan pantas, idea penulisan dan cadangan seolah-olah tahu apa yang kita perlukan.

Namun di sebalik kemudahan itu, umat Islam diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada teknologi ini sehingga menganggapnya sebagai sumber rujukan mutlak, khususnya dalam hal berkaitan akidah, hukum dan nilai agama yang menuntut panduan sahih serta berautoriti.

Bertitik tolak daripada kebergantungan terhadap teknologi itu, tiga anak tempatan mengambil tanggungjawab mencipta aplikasi Aifiqh yang dihasilkan berdasarkan rujukan sahih empat mazhab Islam.

Diketuai pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (bidang Fiqh dan Muamalat) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), inovasi AI itu memiliki lebih 300 ribu data turath dan kontemporari yang kini digunakan di 69 negara di seluruh dunia.

Dr Sakinah Abdul Samad berkata ilham untuk mencipta aplikasi berkenaan tercetus sewaktu melihat suaminya bertungkus lumus menjalankan penyelidikan maklumat berhubung pelbagai perkara dalam syariah Islam.

“Saya sedar pada Januari tahun lalu. Saya lihat suami saya buat kajian penyelidikan dia sendiri. Saya lihat bagaimana beliau bekerja keras mencari sumber ilmu.

“Beliau juga menggunakan aplikasi AI sebagai bantuan, dan di situ saya lihat orang agama sebenarnya memerlukan AI tetapi tiada yang mengintegrasikan AI sebagai rujukan sahih Islam.

“Kita ada banyak AI yang bercirikan agama tetapi tiada satu pun yang benar-benar bersumberkan kitab sahih,” katanya ketika diwawancara Media Selangor, baru-baru ini.

Wanita itu berganding bahu mencipta Aifiqh bersama suaminya, Ahmad Fadhil Nor Rozaman yang berkhidmat sebagai eksekutif penyelidikan syariah di Lembaga Zakat Selangor serta usahawan, Luqman Abd Hamid.

Pembangunan aplikasi itu juga berdepan kos yang menuntut perbelanjaan tinggi sehingga jutaan ringgit, namun ia bersifat mesra pengguna.

Sementara itu, Luqman yang dilantik sebagai pengasas syarikat menyifatkan usaha itu sebahagian jihadnya untuk memartabatkan Islam di mata dunia.

“Saya fikir ini adalah tanggungjawab peribadi saya sebagai seorang muslim, di mana saya lihat domain agama Islam ini tiada teknologi yang dihasilkan. Jadi saya fikir kenapa kita tidak mulakan.

“Secara jujurnya, tidak ramai yang berminat untuk inovasikan ilmu agama ini. Tetapi sebenarnya zaman sudah berubah, cara orang cari ilmu pun sudah berubah.

“Jadi saya fikir perlu ada satu cubaan yang berani dan akhirnya mencuba. Tidak mudah kerana ramai orang ada stigma dan tanggapan terhadap bakat tempatan kita, terutamanya dalam bidang agama,” katanya.

Alat bantu pihak berkuasa agama

Dr Sakinah menolak tanggapan bahawa Aifiqh merupakan 'rujukan fatwa baharu', sebaliknya teknologi berkenaan merupakan alat bantuan pihak berkuasa agama untuk merujuk fakta sahih.

Sepanjang menyempurnakan aplikasi berkenaan, mereka dibantu ahli akademik dari lima universiti Islam ternama termasuk UIA.

Universiti lain ialah Universiti Islam Madinah, Arab Saudi; Universiti Al Azhar, Mesir; Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaya.

“Sebenarnya Aifiqh ini membantu pegawai yang duduk di bahagian fatwa. Dalam menubuhkan fatwa baharu, kita perlu buat kajian yang sangat dalam. Kita perlu buka kitab-kitab klasik sama ada perkara ini pernah berbangkit atau tidak.

“Kita membantu pihak yang laksanakan proses ini. Kita bukan keluarkan fatwa sendiri. Sebagai contoh, apa jua soalan kita akan letak di situ supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Aplikasi itu ditawarkan menerusi dua pilihan iaitu 'user version' untuk orang awam dan 'scholar version' bagi rujukan ahli akademik, yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Ia boleh dilayari menerusi laman sesawang aifiqh.com atau dimuat turun secara percuma di aplikasi google play store serta apple store dalam tempoh terdekat.