SHAH ALAM, 20 NOV: Aplikasi Jom Sabak Bernam yang dilancarkan hari ini memudahkan pelancong merancang percutian dan meneroka pelbagai destinasi menarik di daerah tersebut.
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata aplikasi yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) ini dijangka meningkatkan bilangan pengunjung ke utara Selangor serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia (TMS) 2026.
“Aplikasi digital ini menyediakan maklumat lengkap mengenai tempat pelancongan, produk tempatan dan industri kecil, termasuk Balai Cerap Sungai Lang yang menawarkan pengalaman melihat planet dan angkasa lepas secara dekat.
:Ia juga mempercepat proses digitalisasi di Sabak Bernam serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya selepas merasmikan aplikasi itu di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri hari ini.
Beliau menjelaskan, aplikasi yang dibiayai oleh Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor ini turut menampilkan inap desa yang menawarkan penginapan selesa serta kemudahan majlis seperti perkahwinan dan kenduri.
“Inisiatif ini membolehkan pelancong menikmati pengalaman unik dan menyeluruh di Sabak Bernam. Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan aplikasi ini, terutamanya semasa cuti sekolah, bagi membawa keluarga menikmati keindahan dan ketenangan di daerah ini,” ujarnya.
Dr Mohammad Fahmi menambah, aplikasi ini juga mempromosikan produk tempatan seperti kerepek, sos cili dan hasil industri kecil lain untuk meningkatkan ekonomi komuniti.
“Melalui aplikasi Jom Sabak Bernam, Kerajaan Negeri bersedia menyahut kempen TMS 2026 dengan pelbagai program bulanan seperti Ban Canal, minggu memancing di Kelong Paradise dan aktiviti menuai padi, yang dijangka menarik pelancong secara berterusan serta menjana pendapatan komuniti,” katanya.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma melalui Google Play Store untuk pengguna Android, manakala versi untuk peranti Apple dijangka dilancarkan tahun depan.





