Anak tempatan bangunkan AI berteras rujukan Islam empat mazhab

17 Jan 2026, 6:00 AM
Anak tempatan bangunkan AI berteras rujukan Islam empat mazhab
Anak tempatan bangunkan AI berteras rujukan Islam empat mazhab

SEPANG, 17 JAN: Dalam era digital hari ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar khayalan masa depan, sebaliknya menjadi sebahagian rutin harian masyarakat.

Dengan hanya beberapa arahan ringkas, AI generatif seperti ChatGPT, Gemini atau Copilot mampu membantu pelbagai tugasan, daripada penulisan sehingga carian maklumat.

Namun, teknologi ciptaan Barat ini turut menimbulkan kebimbangan, khususnya dalam kalangan umat Islam yang menjadikannya sebagai sumber rujukan, tanpa jaminan kesahihan kandungan agama.

Bertitik tolak daripada itu, tiga anak tempatan mengambil tanggungjawab menghasilkan aifiqh, inovasi AI berasaskan rujukan Islam sahih, yang dibangunkan berteraskan empat mazhab utama.

Diketuai pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (bidang Fiqh dan Muamalat) Universiti Islam Antarabangsa (UIA), aplikasi itu memuatkan lebih 300,000 data turath dan kontemporari yang digunakan 69 negara seluruh dunia.

Pengasas Aifiqh Dr Sakinah Abdul Samad menerangkan penciptaan AI versi Islamik, aifiqh.com ketika temu bual eksklusif bersama Media Selangor di Salak Perdana, Sepang pada 13 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Dr Sakinah Abdul Samad, ilham membangunkan aplikasi itu tercetus apabila melihat kesukaran suaminya mendapatkan rujukan sahih ketika membuat penyelidikan berkaitan syariah Islam.

“Saya sedar pada Januari tahun lalu. Saya lihat suami saya buat kajian penyelidikan dia sendiri. Saya lihat bagaimana beliau bekerja keras mencari sumber ilmu.

“Beliau juga menggunakan aplikasi AI sebagai bantuan, dan di situ saya lihat orang agama sebenarnya memerlukan AI tetapi tiada yang mengintegrasikan AI sebagai rujukan sahih Islam.

“Kita ada banyak AI yang bercirikan agama tetapi tiada satu pun yang benar-benar bersumberkan kitab sahih,” katanya ketika diwawancara Media Selangor, baru-baru ini.

Dr Sakinah kemudiannya berganding bahu bersama suaminya, Ahmad Fadhil Nor Rozaman, yang berkhidmat sebagai eksekutif penyelidikan syariah di Lembaga Zakat Selangor (LZS), serta usahawan Luqman Abd Hamid, bagi merealisasikan pembangunan aifiqh.

Bagi memastikan aifiqh bersifat mesra pengguna, Dr Sakinah berkata, penghasilan aplikasi itu turut berdepan cabaran tersendiri khususnya berkaitan kos yang menuntut perbelanjaan tinggi.

Walaupun menelan belanja sehingga jutaan ringgit, Luqman yang dilantik sebagai pengasas syarikat melihat usaha itu sebagai satu tanggungjawab peribadi dalam memartabatkan Islam melalui teknologi.

“Saya fikir ini adalah tanggungjawab peribadi saya sebagai seorang muslim, di mana saya lihat domain agama Islam ini tiada teknologi yang dihasilkan. Jadi saya fikir kenapa kita tidak mulakan.

“Secara jujurnya, tidak ramai yang berminat untuk inovasikan ilmu agama ini. Tetapi sebenarnya zaman sudah berubah, cara orang cari ilmu pun sudah berubah.

“Jadi saya fikir perlu ada satu cubaan yang berani dan akhirnya mencuba. Tidak mudah kerana ramai orang ada stigma dan tanggapan terhadap bakat tempatan kita, terutamanya dalam bidang agama,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sakinah menegaskan aplikasi aifiqh bukanlah rujukan fatwa baharu, sebaliknya berfungsi sebagai alat sokongan pihak berkuasa agama dan ahli akademik mendapatkan fakta sahih.

Usahawan Luqman Abd Hamid menerangkan kaedah penggunaan dan ciri AI versi Islamik, aifiqh.com di Salak Perdana, Sepang pada 13 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, pembangunan aifiqh turut melibatkan kerjasama ahli akademik daripada lima universiti Islam terkemuka, termasuk Universiti Islam Madinah di Arab Saudi dan Universiti Al-Azhar di Mesir.

Tiga lagi universiti terlibat ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Selangor (UIS) dan UIA.

“Sebenarnya aifiqh ini membantu pegawai yang duduk di bahagian fatwa. Dalam menubuhkan fatwa baharu, kita perlu buat kajian yang sangat dalam. Kita perlu buka kitab-kitab klasik sama ada perkara ini pernah berbangkit atau tidak.

“Kita membantu pihak yang laksanakan proses ini. Kita bukan keluarkan fatwa sendiri. Sebagai contoh, apa jua soalan kita akan letak di situ supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Aplikasi aifiqh ditawarkan menerusi dua pilihan iaitu 'user version' untuk orang awam dan 'scholar version' bagi rujukan ahli akademik, yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Ia boleh dilayari menerusi laman sesawang aifiqh.com atau dimuat turun secara percuma di aplikasi Google Play serta App Store dalam tempoh terdekat.