SHAH ALAM, 5 FEB: Pakar patologi forensik Hospital Pulau Pinang mengesahkan terdapat kesan luka kelar pada leher seorang wanita yang ditemukan maut di kediamannya di Flat Sri Murni, Sungai Dua, di Butterworth, semalam.
Datuk Dr Zahari Noor berkata pemeriksaan awal mendapati satu kesan kelar pada leher mangsa yang dipercayai berpunca senjata tajam.
“Tiada kesan pergelutan ditemui, sekali gus menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya.
“Kami juga percaya mangsa diserang dari arah belakang,” katanya ketika ditemui di lokasi, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, beliau berkata proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Terdahulu, seorang wanita berusia 41 tahun ditemukan meninggal dunia di kediamannya di tingkat satu flat berkenaan.
Mangsa ditemui terbaring di atas katil di salah sebuah bilik tidur dengan kesan kelar pada leher.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi berkata polis masih mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.


