SHAH ALAM, 23 OKT: Wanita berusia 19 tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta e-hailing dinaiki terbabas sebelum terperosok ke bawah besi pembahagi jalan di Jalan Puchong Batu 14, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikerah ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan berlaku kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Bezza dipercayai pemandu e-hailing terbabas melanggar pembahagi jalan.
"Terdapat tiga mangsa iaitu pemandu lelaki berusia 49 tahun dan dua penumpang iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan remaja perempuan berusia 19 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa lelaki cedera manakala remaja perempuan disahkan maut oleh pasukan perubatan.
Beliau berkata mangsa yang cedera diserah kepada pihak KKM manakala remaja yang maut diserah kepada polis.