SHAH ALAM, 4 FEB: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia selepas disyaki terjatuh dari tingkat 19 sebuah kondominium di Batu Caves, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum pasukan polis bersama petugas perubatan dari Hospital Selayang dikerahkan ke lokasi.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
“Siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, konsisten dengan impak jatuh dari tempat tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Ariffin berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridzuan Alang di talian 019-4492685 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.


