Insiden Jambatan Angkat: Selangor FC gesa jadikan iktibar, komited pelihara nilai kesukanan

3 Feb 2026, 5:19 AM
Insiden Jambatan Angkat: Selangor FC gesa jadikan iktibar, komited pelihara nilai kesukanan

SHAH ALAM, 3 FEB: Insiden kekecohan di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu yang berlaku pada Ahad, perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak agar perkara sama tidak berulang pada masa depan, tegas Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

Menerusi kenyataan rasmi, Selangor FC memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan komitmen untuk terus memelihara imej serta nilai kesukanan dalam arena bola sepak tempatan.

“Selangor FC amat kesal dengan insiden yang melibatkan sebilangan minoriti penyokong di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC.

“Kelab tidak berkompromi dan menyelar sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan orang ramai kerana ia jelas bercanggah dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Selangor FC dan komuniti bola sepak Selangor,” tegas kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Selangor FC juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Kami berharap setiap penyokong sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati serta bersatu padu demi memupuk budaya sokongan bola sepak yang lebih positif dan sihat.

“Kelab sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam menjamin keselamatan serta memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak tempatan,” katanya.

Semalam, seramai 33 penyokong pasukan bola sepak Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terenganu untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di kawasan itu.

Perbuatan itu mencetuskan kemarahan warga maya dan berlaku perdebatan antara mereka di laman sosial sejak malam kelmarin.