Lokasi penemuan rangka enam mangsa bunuh terpencil, atas tanah persendirian

3 Feb 2026, 2:24 PM
Lokasi penemuan rangka enam mangsa bunuh terpencil, atas tanah persendirian

SHAH ALAM, 3 FEB: Lokasi penemuan rangka manusia yang dipercayai mangsa pembunuhan di sebuah rumah musnah terbakar di Kangkar Pulai, Johor Bahru, disahkan berada di atas tanah persendirian yang terpencil dan jauh daripada laluan utama.

Tinjauan ke lokasi mendapati kawasan berkenaan berpagar dan tidak boleh dimasuki orang awam, selain laluan ke kawasan itu tidak berturap serta dipenuhi sisa bahan binaan.

Selain rumah terbakar, beberapa struktur lain termasuk rumah terbiar dan sebuah kuil turut terdapat di kawasan berkenaan, yang dikelilingi kebun kelapa sawit serta berada dalam keadaan sunyi tanpa kehadiran penduduk.

Seorang penduduk Kangkar Pulai yang enggan dikenali berkata, kawasan itu terletak jauh daripada laluan utama sehingga kewujudan rumah berkenaan tidak diketahui penduduk sekitar.

“Kami difahamkan kawasan itu milik seorang lelaki sebelum ini dan ia sudah dijual kepada pemilik baharu.

“Walaupun kami penduduk lama di kawasan ini, kami tidak pernah ke kawasan kebun kelapa sawit itu kerana tiada urusan di situ.

“Kami terkejut apabila difahamkan berlaku pembunuhan di situ kerana kami tidak sangka ada yang tinggal di kawasan itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan juga tidak mengenali keluarga mangsa yang terlibat.

“Kami percaya mangsa bukan penduduk asal Kangkar Pulai kerana kami juga tidak pernah menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menemukan rangka enam individu termasuk empat kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di sebuah rumah yang musnah terbakar di kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, rangka berkenaan ditemukan dalam keadaan terbakar pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, penemuan itu dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang sedang mengesan ahli keluarganya yang terputus hubungan sejak tiga bulan lalu.

Siasatan awal mendapati enam mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 35 tahun bersama tiga anak perempuan berusia lima, sembilan dan 17 tahun, seorang anak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun yang dipercayai rakan lelaki wanita berkenaan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun di kawasan Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.