Rangka dalam tong biru bersimen disahkan mangsa bunuh - Polis

15 Sep 2026, 4:01 AM
Rangka dalam tong biru bersimen disahkan mangsa bunuh - Polis

SHAH ALAM, 15 SEPT: Rangka manusia yang ditemukan dalam tong biru bersimen di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Machap Baru, Ahad lalu, disahkan mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata bedah siasat yang memasuki hari kedua hari ini mengesahkan rangka dan tengkorak berkenaan merupakan tulang manusia.

“Pemeriksaan turut menemukan pakaian lengkap termasuk kain, baju dan seluar bersama rangka itu. Namun setakat ini jantina serta punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih menunggu keputusan lanjut bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Menurutnya, tong biru berkenaan ditemukan tiga pemancing berusia antara 25 hingga 35 tahun kira-kira jam 11.40 pagi ketika berada di kawasan empangan itu.

Katanya, mereka yang curiga kemudian memotong sedikit bahagian atas tong sebelum melihat sesuatu yang dipercayai tulang manusia, lalu menghubungi polis.

Pemeriksaan awal mendapati bahagian atas tong mempunyai kesan simen, manakala tengkorak ditemukan berasingan tanpa tisu yang melekat pada tulang.

Sebelum ini, media melaporkan misteri tong biru di tepi Empangan Durian Tunggal, Jalan Machap Baharu, terbongkar selepas ditemukan mengandungi rangka dipercayai manusia.

Tong berkenaan dipercayai bersimen, manakala rangka di dalamnya dianggarkan sudah berada di situ sekurang-kurangnya tiga minggu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.