SHAH ALAM, 4 FEB: Kontinjen Selangor menyasarkan kutipan kira-kira 80 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Pengarah eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet negeri ini disasarkan muncul juara dalam 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan.
“Ini angka paling selesa kita perlu dapat untuk bergelar juara. Tapi realitinya dalam sukan ini, macam-macam boleh berlaku. Kalau tengok SUKMA lepas, pingat perak dan gangsa kita terlalu banyak.
“Kita harap setiap sukan dapat sumbang emas, tiada sukan yang terlepas. Kalau ikut kiraan mudah, ada 37 sukan. Satu sukan satu emas. Kalau satu sukan dapat dua emas, kita dah dapat lebih 60 emas tapi semua atlet, jurulatih kena mainkan peranan,
“Kalau dah masuk peringkat akhir, ini adalah satu langkah sahaja lagi untuk bergelar juara. Jangan sia-siakan peluang itu. Jadi buatlah bersungguh-sungguh dengan hati dan jiwa besar untuk pastikan emas milik kita,” katanya kepada Media Selangor.
Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor berjaya melepasi sasaran menduduki tempat tiga teratas dengan kutipan 181 pingat iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
Mohamad Nizam berkata acara renang bakal menjadi lubuk mengutip emas selain menyasarkan sumbangan pingat sama dari sukan olahraga, menembak serta berbasikal.
“Bagaimanapun atlet kita jangan lupa, ada atlet negeri lain yang semakin meningkat naik. Namun kita yakin tidak menjejaskan sasaran emas. Olahraga juga mampu sumbang emas yang banyak sebab kali ini kita hantar pasukan penuh, berbanding sebelum ini hanya kumpulan sasaran.
“Begitu juga dengan sukan menembak dan berbasikal, antara sukan kita jangka boleh dapat lebih dari sasaran. Harapnya penyertaan penuh ini menjadi pembakar semangat atlet sebab kita tuan rumah, beraksi dengan penonton sendiri,” katanya.
Beliau berkata insentif ditawar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga akan menjadi pemangkin semangat untuk atlet mengejar pingat emas.
Ketika Majlis Pelancaran Program 'Road To Champion' dan Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat Kontinjen Sukma Selangor pada Ogos tahun lalu, Amirudin mengumumkan peningkatan insentif sebanyak RM2,000 kepada atlet yang merangkul pingat emas.
Ini membolehkan atlet berkenaan menerima durian runtuh bernilai RM12,000 namun dengan syarat Selangor menjadi juara keseluruhan SUKMA 2026.



