Lebih 1,000 atlet mewakili Selangor pada SUKMA 2026

4 Feb 2026, 1:01 AM
Lebih 1,000 atlet mewakili Selangor pada SUKMA 2026
Lebih 1,000 atlet mewakili Selangor pada SUKMA 2026
Lebih 1,000 atlet mewakili Selangor pada SUKMA 2026

SHAH ALAM, 4 FEB: Lebih 1,000 atlet akan mewakili kontinjen Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet yang layak akan dikenal pasti menjelang Mac bagi memastikan persediaan fasa akhir dapat dilaksana pada tahap terbaik.

Menurut beliau, jumlah penyertaan kali ini bersesuaian dengan status Selangor selaku tuan rumah dan pihak MSN mahu memastikan tiada kelompongan atlet dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Habis sahaja SUKMA 2024 lepas, atlet kita memang terus berlatih dan juga menjalani pelbagai kejohanan untuk pendedahan dan timba pengalaman. Ketika ini mereka sudah masuk fasa ke tiga sejak Disember, penekanan kepada latihan.

“Buat masa sekarang, kita ada senarai panjang (atlet) untuk semua jenis sukan. Dalam Mac nanti, kita akan senarai pendek nama, acara disertai dan pastikan hanya atlet yang paling layak akan mewakili negeri ke SUKMA,” kata kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut Mohamad Nizam berkata fasa terakhir bermula Mac hingga Ogos akan menjadi tempoh paling kritikal kepada semua pihak untuk membuat persediaan bagi memastikan pingat emas dapat digengam.

Dalam fasa terbabit, beliau menjelaskan penekanan pihaknya lebih tertumpu pada aspek strategi jurulatih dan atlet selain susun atur pasukan sekali gus memberi saingan mantap kepad kontinjen lain.

Ketika ini juga, beliau berkata MSN Selangor turut memulakan persediaan awal penganjuran sukan PARA SUKMA yang membabitkan 10 jenis sukan dengan hampir 300 acara berlangsung dari 5 hingga 14 September.

Pada SUKMA 2026 ini, sebanyak 52 lokasi pertandingan di sembilan daerah akan digunakan, melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta, termasuk Velodrom Nasional Negeri Sembilan.

Larian obor SUKMA dijangka bermula pada April ini, merentasi kesemua sembilan daerah di Selangor, bagi memeriahkan lagi sambutan temasya sukan terbesar di negeri ini.