SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengecam keras tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membakar mural seni serta papan penerangan di Bandar Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK Norfiza Mahfiz berkata kejadian itu hampir memusnah struktur papan penerangan dan merosakkan sebahagian mural yang menjadi identiti baharu kawasan tersebut.
“MBDK turut meminta pihak polis untuk memantau lokasi tersebut memandangkan kawasan sekitar sering menjadi tumpuan golongan gelandangan pada waktu malam.
“Perbuatan membakar harta benda awam adalah satu tindakan berniat jahat yang amat mengejutkan dan bukan sekadar vandalisme biasa, malah merupakan satu sabotaj terhadap usaha menceriakan bandar Pelabuhan Klang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sementara itu, Norfiza berkata Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee turut menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana individu atau pihak yang tampil menyalurkan maklumat berhubung dalang kejadian berkenaan.
“MBDK turut merakamkan penghargaan kepada ADN Pandamaran yang menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana individu atau pihak yang tampil menyalurkan maklumat sahih sehingga tertangkapnya dalang kejadian ini,” katanya.
Projek mural hasil kerjasama strategik antara MBDK dan Lembaga Pelabuhan Klang siap sepenuhnya dua bulan lalu. Lukisan mural itu bertujuan menghidupkan semula estetika bandar bagi menarik kunjungan pelancong serta perhatian masyarakat.



