Gagal daftar nikah di Malaysia, anak tidak boleh dibinkan bapa – JPN

3 Feb 2026, 6:26 AM
Gagal daftar nikah di Malaysia, anak tidak boleh dibinkan bapa – JPN
Gagal daftar nikah di Malaysia, anak tidak boleh dibinkan bapa – JPN

SHAH ALAM, 3 FEB: Anak pasangan Islam yang berkahwin di luar negara termasuk Thailand, tetapi gagal mendaftar atau mendapatkan pengesahan pernikahan di Malaysia, tidak boleh dibinkan kepada bapa dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran kelahiran anak masih boleh dibuat, namun nama bapa perlu dinasabkan kepada Asmaul Husna, iaitu 99 nama Allah SWT, sekiranya pernikahan ibu bapa tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau menjelaskan, status pernikahan perlu dibuktikan melalui dokumen sah semasa pendaftaran kelahiran. Jika gagal, pendaftaran akan dibuat mengikut Seksyen 13 Akta 299.

Seksyen 13 merujuk kepada pasangan tidak berkahwin; pasangan berkahwin di luar negara tetapi tidak mendaftar di Malaysia; atau kelahiran kanak-kanak Islam sebelum cukup enam bulan Qamariah daripada tarikh perkahwinan.

"Taraf kewarganegaraan anak dalam sijil kelahiran adalah mengikut taraf kewarganegaraan ibu ketika kelahiran berlaku.

"Sekiranya bapa adalah warga Malaysia, manakala pasangannya warga asing, namun perkahwinan tidak diiktiraf mengikut undang-undang (di Malaysia), taraf warganegara anak mengikut taraf warganegara ibu," katanya seperti dilapor BH Online.

Menurutnya, anak yang dinasabkan kepada Asmaul Husna masih boleh dibinkan semula kepada bapa selepas perkahwinan didaftarkan di Mahkamah Syariah dan maklumat diperbetulkan di JPN mengikut Seksyen 27(3).

"Berdasarkan rekod JPN, ada kes dokumen pengenalan diri kanak-kanak menjadi tidak lengkap atau memerlukan pengesahan lanjut akibat pernikahan ibu bapa yang tidak didaftarkan di Malaysia.

"JPN ingin menegaskan bahawa setiap kes dinilai secara individu berdasarkan dokumen dan fakta yang dikemukakan.

"Buat masa ini, JPN tidak mempunyai angka khusus, namun isu ini memang memberi implikasi terhadap kelancaran urusan dokumentasi anak," katanya.

Beliau menasihatkan pasangan yang berkahwin di luar negara supaya segera mendaftarkan pernikahan di Malaysia bagi melindungi hak dan kepentingan anak.

"Kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan jangka panjang kepada anak, termasuk urusan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Hisham, 45, berkongsi pengalaman selepas lima tahun berkahwin di Thailand tanpa mendaftar pernikahan di Malaysia.

"Selepas lima tahun berkahwin di Thailand tanpa mendaftar pernikahan di Malaysia kerana takut diketahui isteri pertama, saya terpaksa akur perlu berbuat demikian selepas isteri kedua melahirkan anak sulung kami dan berdepan masalah ketika mendaftar sijil kelahiran".

Katanya, masalah timbul apabila anak perempuannya yang lahir pada 2018 tidak boleh dibinkan namanya.

"Selepas mendapat nasihat daripada rakan terdekat dan pihak berwajib, saya tampil mendaftarkan perkahwinan. Alhamdulillah proses berjalan lancar memandangkan dokumen pernikahan saya di Thailand adalah lengkap," katanya.

Beliau berkata, selepas perkahwinan didaftarkan, maklumat anak berjaya dikemas kini di JPN dan kini anak perempuannya berusia lapan tahun.