Imigresen Johor tumpaskan sindiket 'pasport terbang'

3 Feb 2026, 6:06 AM
Imigresen Johor tumpaskan sindiket 'pasport terbang'

SHAH ALAM, 3 FEB: Jabatan Imigresen (JIM) Johor menumpaskan sindiket 'pasport terbang' menerusi operasi Ops Serkap di sebuah pangsapuri di Taman Daya, Johor Bahru pada 29 Januari lalu.

Dalam operasi itu, seorang individu berusia 44 tahun ditahan, manakala sembilan pasport dirampas kerana dipercayai digunakan sebagai dokumen perjalanan untuk tujuan keluar masuk negara ini secara tidak sah, lapor Harian Metro.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan beberapa pasport yang disyaki disalahgunakan oleh sindiket terbabit.

"Seorang warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Pasport 1966 (Akta 150).

"Individu terbabit kini ditahan di Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan pasport kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dokumen perjalanan.