SHAH ALAM, 2 FEB: Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, kawasan tapak semaian bunga di sekitar Sungai Buloh kembali meriah apabila dihiasi pelbagai bunga perayaan yang mekar berwarna-warni, sekali gus menyemarakkan suasana menyambut tahun baharu.
Seawal 9 pagi, orang ramai khususnya masyarakat Cina mula mengunjungi tapak semaian bagi mendapatkan bunga yang melambangkan tuah, kemakmuran dan kesejahteraan sebagai persiapan menyambut perayaan.
Deretan tanglung merah serta hiasan Tahun Baharu Cina yang digantung di sekitar tapak semaian menambahkan lagi kemeriahan suasana, lengkap dengan pelbagai jenis bunga yang tersusun rapi dan menarik perhatian pengunjung.
Tinjauan Media Selangor mendapati beberapa pengusaha membuka gerai lebih awal daripada waktu operasi rasmi bagi memenuhi kehadiran pelanggan yang datang seawal pagi untuk memilih bunga pilihan.

Menjelang 10 pagi, jumlah pengunjung meningkat dengan ketara sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan keluar masuk tapak semaian. Beberapa anggota sukarelawan polis turut dikerahkan bagi membantu melancarkan pergerakan kenderaan dan menjaga ketenteraman.
Bagi menarik minat pengunjung, pengusaha turut menghias bunga dan tanaman pasu dengan perhiasan seperti tanglung kecil, jongkong emas, sampul merah serta dekorasi bertemakan Tahun Naga, sekali gus menceriakan suasana jualan.
Masyarakat Cina di Malaysia dijadualkan menyambut Tahun Baharu Cina pada 17 Februari ini.
Bunga tahun baharu serikan kediaman
Sebahagian pengunjung berkata bunga tahun baharu menjadi elemen penting dalam menceriakan kediaman sepanjang musim perayaan, selain memberi suasana segar dan meningkatkan kemeriahan sambutan.
Pemerhatian mendapati ramai keluarga hadir bersama-sama dengan sasaran jelas untuk mendapatkan bunga pilihan, manakala ada yang mengambil masa lebih lama berikutan kepelbagaian jenis dan warna bunga yang ditawarkan.
Ada juga yang mengakui pembelian bunga tahun baharu semakin berkurangan dalam kalangan golongan muda akibat kesibukan kerja dan faktor ekonomi, namun bunga tetap dianggap mampu menceriakan suasana serta memberi ketenangan emosi.

“Kami baru berpindah ke Bandar Country Homes dan sengaja datang ke Sungai Buloh untuk memilih bunga tahun baharu bagi menghias rumah sempena perayaan.
“Dalam rutin harian yang penuh tekanan, melihat bunga membuatkan hati rasa lebih tenang dan seolah-olah memberi nafas baharu kepada kehidupan,” katanya.

“Saya memang gemar menanam bunga dan setiap kali Tahun Baharu Cina, bunga perayaan wajib ada di rumah.
“Sungai Buloh menjadi pilihan kerana terdapat pelbagai jenis bunga dengan harga berpatutan, selain banyak bunga hidup dan segar termasuk yang diimport,” katanya.

“Tahun ini saya memilih untuk membeli bunga perayaan kerana ia dapat mewujudkan suasana sambutan yang lebih bermakna dan beradat, berbanding hanya hiasan biasa,” katanya.





