Faisal Halim ledak dua gol, tapi tekankan kemenangan pasukan lebih penting

30 Jan 2026, 1:46 AM
Faisal Halim ledak dua gol, tapi tekankan kemenangan pasukan lebih penting

SHAH ALAM, 30 JAN: Kaptan Selangor FC, Faisal Halim, terus menunjukkan kelasnya di padang, namun enggan terlalu ‘mendabik dada’ meskipun meledak dua gol penting ketika menewaskan Cong An Hanoi 2-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium MBPJ, Rabu lalu.

Pemain sayap lincah yang mesra dipanggil Mickey itu menegaskan bahawa gol-gol yang dijaringkannya hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan pasukan meraih kemenangan, lapor Sinar Harian.

“Saya hanya berikan yang terbaik untuk Selangor pada setiap perlawanan. Gol atau tidak, yang penting pasukan menang. Ini hadiah kami untuk penyokong,” kata Faisal, yang kini mengumpul 17 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Walaupun prestasinya konsisten dan menjadi tumpuan peminat, Faisal menasihatkan rakan sepasukannya agar tidak leka, terutamanya menjelang baki satu perlawanan terakhir kumpulan.

Skuad Gergasi Merah kini mendahului Kumpulan A dengan lapan mata, tetapi tiket ke separuh akhir masih belum selamat sepenuhnya. Pencabar terdekat, BG Pathum United, hanya berbeza satu mata dan terus mengejar rapat.

“Perlawanan terakhir nanti adalah aksi hidup mati buat kami. Tiga mata sangat penting untuk mengesahkan kemaraan pasukan ke separuh akhir. Saya harap semua rakan sepasukan fokus dan tidak leka,” tambahnya.

Faisal menutup kenyataannya dengan memberi bayangan bahawa Selangor FC akan terus menampilkan aksi menyerang dan bertenaga, selari dengan misi mereka mengekalkan rekod kemenangan dalam ACC musim ini.