Pakar: Penukaran kenderaan lama bukan penyelesaian penuh keselamatan jalan raya

29 Jan 2026, 4:35 AM
Pakar: Penukaran kenderaan lama bukan penyelesaian penuh keselamatan jalan raya

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan menyediakan insentif sehingga RM2,000 bagi penukaran kenderaan lama, namun langkah itu tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian menyeluruh kepada masalah keselamatan jalan raya.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua, berkata insentif itu hanyalah sebahagian kecil dalam ekosistem keselamatan jalan raya yang lebih kompleks.

Beliau menjelaskan jumlah geran yang ditawarkan bersifat separa dan tidak semestinya menjamin penggantian kepada kenderaan moden atau yang mempunyai ciri keselamatan tinggi, lapor Berita Harian.

Katanya, kemalangan jarang berlaku akibat satu faktor sahaja.

"Kemalangan biasanya berpunca daripada gabungan faktor kenderaan, manusia, persekitaran dan tahap penguatkuasaan," ujarnya.

Oleh itu, walaupun usaha menyingkirkan kenderaan tidak selamat wajar disokong, kesannya terhadap statistik kemalangan adalah terhad jika tidak disertai pendekatan lebih holistik, tambahnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini mengumumkan memperuntukkan RM10 juta bagi menggantikan kira-kira 5,000 kenderaan lama.

Program itu tertumpu kepada jenama automotif nasional dan menyasarkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun.

Melalui program berkenaan, penerima layak menikmati geran padanan sehingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan untuk mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu.

Selain insentif itu, Teik Hua menegaskan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada langkah lain yang terbukti berkesan, termasuk penguatkuasaan berasaskan bukti dan teknologi terhadap empat kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan Sistem Selamat, termasuk penambahbaikan infrastruktur jalan, laluan pejalan kaki dan basikal yang selamat, pencahayaan mencukupi, serta pendidikan dan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya.

Kesimpulannya, katanya, menukar kenderaan lama adalah langkah positif tetapi bukan penyelesaian ajaib. Kejayaan mengurangkan kemalangan memerlukan strategi serentak yang agresif dan sistematik terhadap semua faktor penyebab.