SHAH ALAM, 27 JAN: Pemilik kenderaan berusia 20 tahun kini berpeluang menukar kenderaan lama kepada yang baharu menerusi Program Geran Padanan yang menyasarkan 5,000 pemilik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menerusi program berkenaan, pemilik kenderaan jenama tempatan boleh menggantikan kenderaan lama mereka dengan kenderaan baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga dan mesra alam.
Katanya, di bawah program tersebut, penerima layak menikmati geran padanan sehingga RM2,000 yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan.
“Bermula esok mereka boleh ke showroom (bilik pameran) terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Dengan peruntukan RM10 juta, kita menyasarkan minimum 5,000 kenderaan akan terbabit menerusi program ini.
“Itu sebagai permulaan, sekiranya program ini berjaya mendapat sambutan, kita akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan untuk yakinkan bahawa program ini memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama, di sini, hari ini.
Menurut Loke, pelaksanaan program itu turut diperkukuh melalui penggunaan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan proses pembatalan pendaftaran secara digital.
“Kenderaan lama yang diserahkan di bawah program ini akan dilupuskan secara sah melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) iaitu pusat pelupusan berlesen bagi memastikan proses pelupusan secara terkawal, profesional dan mematuhi piawaian alam sekitar.
“Melalui mekanisme AATF ini, dapat mengelakkan penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran, memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya, menguruskan bahan buangan dan komponen kitar semula secara selamat dan menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan pendekatan serampang dua mata bagi membantu rakyat memiliki kenderaan baharu melalui tawaran rebat, selain menangani isu kenderaan lama di jalan raya.
“Melalui pendekatan ini, kita harap dapat menggalakkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kenderaan lama mereka boleh dilupuskan dengan cara teratur dengan mendapatkan semula bayaran tertentu,” katanya.


