11 notis dikeluarkan, JPJ Selangor periksa institut memandu

29 Jan 2026, 3:48 AM
11 notis dikeluarkan, JPJ Selangor periksa institut memandu

SHAH ALAM, 29 JAN: Sebanyak 11 notis dikeluarkan dalam Operasi Khas Institut Memandu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sebuah institut memandu, semalam.

JPJ Selangor memaklumkan operasi itu dijalankan bagi memastikan institut memandu mematuhi semua peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Pemeriksaan menyeluruh dibuat terhadap kenderaan institut memandu (SKIM) bagi memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik serta selamat untuk tujuan pembelajaran di litar dan di jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Selain pemeriksaan kenderaan, JPJ Selangor turut menjalankan pemeriksaan terhadap tenaga pengajar bagi memastikan mereka pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang sah untuk mengajar calon belajar memandu.

“Sebanyak 25 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan dan 11 notis dikeluarkan,” katanya.

JPJ Selangor turut mengingatkan pihak institut memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada calon pelajar bagi melahirkan pemandu yang kompeten dan berdisiplin di jalan raya.

“Penguatkuasaan secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua institut memandu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.