SHAH ALAM, 28 JAN: Xiaomi, jenama peneraju teknologi global menjalin kerjasama strategik dengan Media Selangor Sdn Bhd bagi memperluas penggunaan peranti telefon pintar menerusi penghasilan kandungan kreatif.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata kolaborasi tersebut merupakan permulaan tahun baharu yang baik kepada media rasmi negeri dalam meneroka pasaran ekonomi digital.

“Xiaomi mempunyai nama dan reputasi besar. Bukan sahaja sebagai pengeluar telefon pintar tetapi juga barangan elektrik dan perkakas rumah yang banyak digunakan rakyat Malaysia.
“Kerjasama ini merupakan permulaan yang sangat baik bagi tahun 2026. Kita akan lihat kerjasama ini dalam konteks yang lebih luas termasuk beberapa acara besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Fareed menerima kunjungan Xiaomi Malaysia yang diwakili Pengurus Perhubungan Awam Xiaomi Malaysia, Adam Farid di pejabat Media Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarang, Noor Azam Shairi; Ketua Kluster Perkhidmatan Korporat, Mohd Zulkifli Ismail; Ketua Kluster Penjanaan Hasil, Nursuziana Zulkifli dan Ketua Jabatan Kamera, Hafiz Othman.
Menerusi kerjasama strategik itu, Media Selangor menerima penajaan enam telefon pintar dengan kamera berteknologi tinggi, Xiaomi 15T Series yang akan digunakan bagi menyokong penghasilan bahan media.
Sementara itu, Adam berkata kerjasama strategik berkenaan mencerminkan komitmen Xiaomi dalam menyokong rakan media di Media Selangor, selain berperanan sebagai platform untuk mengetengahkan prestasi dan keupayaan peranti siri Xiaomi 15T kepada masyarakat umum.

Jelas beliau, peranti tersebut yang dilengkapi teknologi pengimejan hasil kejuruteraan bersama Leica serta prestasi kamera yang konsisten, membolehkan pengamal media menghasilkan kandungan berita dengan lebih efisien dan berkualiti tinggi.
Menurut Adam, pendedahan serta maklum balas sebenar daripada rakan media di Media Selangor memberikan nilai tambah kepada usaha berterusan Xiaomi dalam memperkukuh inovasi pengimejan, di samping meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan peranti Xiaomi dalam persekitaran penggunaan dunia sebenar.
“Kami berharap kerjasama strategik ini dapat memperkukuh hubungan antara Xiaomi Malaysia dan Media Selangor, serta membuka ruang kepada peluang kolaborasi yang lebih signifikan pada masa akan datang,” katanya.




