Xiaomi sasar hasilkan lebih banyak produk teknologi pintar tahun ini

5 Feb 2026, 2:01 AM
Xiaomi sasar hasilkan lebih banyak produk teknologi pintar tahun ini

SHAH ALAM, 4 FEB: Xiaomi Malaysia menyasarkan penghasilan lebih banyak telefon pintar berprestasi tinggi, termasuk rangkaian produk rumah pintar yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan dan Internet Kebendaan (AIoT), sepanjang tahun ini.

Pengurus Perhubungan Awam Xiaomi Malaysia, Adam Farid berkata sebagai penyedia teknologi pintar terkini, Xiaomi berhasrat melangkah lebih jauh dalam memenuhi keperluan gaya hidup pengguna di Malaysia.

PR Manager and Spokeperson Xiaomi Malaysia, Adam Farid. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Matlamat kami adalah untuk memastikan teknologi pintar bukan sahaja canggih, malah praktikal serta mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan pengguna.

“Melalui ekosistem pintar Xiaomi, kami mahu membantu rakyat Malaysia menikmati gaya hidup yang lebih terhubung dan efisien,” katanya dalam kenyataan kepada Media Selangor, baru-baru ini.

Xiomi 15T

Menurut Adam, pasaran telefon pintar di Malaysia sememangnya sangat kompetitif, namun situasi itu dilihat sebagai peluang Xiaomi untuk terus berinovasi serta menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.

Katanya, persaingan tersebut mendorong Xiaomi untuk sentiasa mendengar maklum balas pengguna tempatan bagi memastikan setiap produk yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi keperluan sebenar rakyat Malaysia.

“Dengan pendekatan ini, Xiaomi berharap teknologi pintar dapat diakses lebih ramai pengguna tanpa mengorbankan aspek kualiti dan prestasi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (tiga kanan) bersama PR Manager and Spokeperson Xiaomi Malaysia, Adam Farid (dua kanan) dan Ketua Pengarang Media Selangor, Noor Azam Shairi dalam Sesi Penyerahan Tajaan Telefon Xiaomi 15T Series di Media Selangor pada 28 Januari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Minggu lalu, jenama peneraju teknologi global itu menjalin kerjasama strategik bersama Media Selangor bagi memperluas penggunaan peranti telefon pintar melalui penghasilan kandungan kreatif.

Menerusi kerjasama tersebut, Media Selangor menerima penajaan enam unit telefon pintar Xiaomi 15T Series yang dilengkapi kamera berteknologi tinggi untuk menyokong penghasilan bahan media.

Siri Xiaomi 15T yang dilancarkan pada September tahun lalu menampilkan fokus kamera Leica, cip MediaTek berprestasi tinggi serta bateri berkapasiti besar 5,500mAh.