Kuat kuasa denda, kompaun banteras tapak sampah haram

29 Jan 2026, 1:01 AM
Kuat kuasa denda, kompaun banteras tapak sampah haram

SHAH ALAM, 29 JAN: Tindakan tegas termasuk penguatkuasaan kompaun perlu dilaksanakan bagi membanteras tapak pembuangan sampah haram, selari dengan usaha Kerajaan Negeri menangani isu tersebut secara menyeluruh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut, selain memerlukan kerjasama berterusan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasrat negeri ini sangat baik. Di Meru, isu sampah haram ini juga berlaku antaranya di Bukit Cherakah Jaya dan Kampung Budiman. Dalam nak banteras tapak sampah haram, perlu juga ada tindakan tegas.

“Denda atau kompaun sekarang mungkin dilihat rendah. Denda rendah jadi mereka mudah dan boleh bayar. Sebab itu kesalahan ini sentiasa berulang, sampah dibuang di tapak haram.

“Tindakan lain juga boleh dikuatkuasakan seperti menyita kenderaan terlibat atau senarai hitam lesen pemilik kenderaan yang membuang sampah. Kita perlu tegas dan tak boleh kompromi dengan kegiatan sebegini,” katanya kepada Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid. Foto Facebook Mariam Abdul Rashid

Mariam berkata, aspek kesedaran turut perlu diberi penekanan, khususnya dalam kalangan komuniti warga asing, memandangkan pembuangan sampah secara haram menyumbang kepada risiko banjir.

“Ramai warga asing di Meru. Jadi kita mahu mereka ambil tanggungjawab supaya tidak berlaku masalah pada sistem perparitan. Sampah ini mengundang kepada risiko banjir selain penyakit,” katanya.

Terdahulu, pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 kelmarin, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan komitmen pentadbiran negeri untuk membanteras tapak pembuangan sampah haram, termasuk tindakan turun padang ke lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.

Beliau turut memberi peringatan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol, selain mengarahkan KDEB Waste Management (KDEBWM) memperkukuh kerjasama dengan semua PBT.