MPHS turun padang tangani isu penutupan jalan Taman Desa Kiambang

28 Jan 2026, 1:04 AM
MPHS turun padang tangani isu penutupan jalan Taman Desa Kiambang

SHAH ALAM, 28 JAN: Isu penutupan jalan di Taman Desa Kiambang, Serendah yang menjejaskan laluan kecemasan penduduk dibincangkan dalam satu sesi turun padang melibatkan pelbagai agensi, pagi semalam.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Zon 16, Aylwin Chan Wai Tuck berkata, isu berkenaan perlu ditangani segera kerana melibatkan keselamatan nyawa penduduk, khususnya ketika situasi kecemasan seperti kebakaran, pergerakan ambulans dan bencana alam.

“Ini bukan isu kecil. Ia melibatkan keselamatan nyawa penduduk, terutama apabila laluan keluar masuk terhalang semasa kecemasan seperti kebakaran, ambulans atau banjir,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sesi turun padang itu turut disertai Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Jabatan Kejuruteraan MPHS, pasukan ECRL, serta Pengerusi Taman Desa Kiambang, Selvaraj bagi menilai situasi sebenar di lokasi dan mencari penyelesaian praktikal.

Katanya, perbincangan memberi tumpuan kepada cadangan laluan alternatif baharu bagi memastikan penduduk mempunyai akses keluar masuk yang lebih selamat dan lancar, terutamanya ketika kecemasan.

Aylwin berkata, semua pandangan dan kebimbangan yang disuarakan penduduk akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk tindakan susulan bersama agensi terlibat.

“Ini juga soal hak penduduk untuk berasa selamat di kawasan tempat tinggal mereka. Kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta penduduk yang memberi kerjasama dan pandangan secara terbuka demi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai.