SHAH ALAM, 28 JAN: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadi antara kerangka utama yang menyokong pencapaian dan kejayaan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian tersebut menjadi asas penting dalam merangka hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sebagai kesinambungan kepada dasar dan inisiatif sedia ada.
"Alhamdulillah, pelaksanaan RS-1 telah membuktikan keberkesanannya sebagai pemangkin kejayaan Kerajaan Negeri, dengan pelbagai pencapaian signifikan direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaannya," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan RS-1 dan RS-2 bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di sini, semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh terhadap pelaksanaan RS-1, termasuk mengenal pasti ruang penambahbaikan dan kelemahan yang perlu diperhalusi bagi memperkukuh pelaksanaan RS-2.
Beliau berkata, pendekatan reflektif dan berasaskan data amat penting bagi memastikan setiap dasar dan perancangan yang digubal terus relevan, berimpak serta berpaksikan kepentingan rakyat.
"Mudah-mudahan ikhtiar ini menjadi landasan kukuh ke arah pencapaian yang lebih gemilang, demi Selangor yang terus maju, inklusif dan berdaya tahan," katanya.


