SEREMBAN, 27 JAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal dalam sebuah kereta di Jalan Tunku Hassan, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira 6.15 petang memaklumkan kematian kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta selepas dipercayai ditinggalkan oleh ibunya berusia 35 tahun pada 8 pagi yang bekerja di sebuah bank berhampiran.
"Ibu mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke tempat pengasuh dan kejadian hanya disedari kira-kira 5 petang selepas ibu mangsa selesai bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azahar berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebelum dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan.


