MBPJ kutip RM67.54 juta hasil tahun lalu, pelesenan lebih sasaran 18 peratus

27 Jan 2026, 7:55 AM
MBPJ kutip RM67.54 juta hasil tahun lalu, pelesenan lebih sasaran 18 peratus

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatat prestasi kewangan memberangsangkan apabila merekodkan kutipan hasil pelesenan sebanyak RM34.47 juta sepanjang tahun lalu, mengatasi sasaran asal.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, jumlah itu melebihi sasaran sebanyak 18.1 peratus, berbanding sasaran RM29.18 juta yang ditetapkan.

Beliau berkata, Jabatan Pelesenan Pembangunan dan Perniagaan Keusahawanan turut menyumbang melalui kutipan caj beg plastik berjumlah RM2.16 juta, selaras dengan agenda kelestarian bandar.

“Pencapaian ini mencerminkan tahap pematuhan yang baik serta keberkesanan pengurusan dan penguatkuasaan MBPJ,” katanya pada mesyuarat bulanan MBPJ, hari ini.

Selain itu, MBPJ turut menyumbang RM30.91 juta hasil kutipan duti hiburan kepada Kerajaan Negeri sehingga 31 Disember 2025.

“Secara keseluruhan, MBPJ berjaya merekodkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM67.54 juta.

“Ia membuktikan keupayaan MBPJ mengurus hasil secara berkesan, berintegriti dan mampan,” katanya.