Rampasan dadah rekod RM3.19 bilion sepanjang 2025, 270 sindiket lumpuh

27 Jan 2026, 6:25 AM
Rampasan dadah rekod RM3.19 bilion sepanjang 2025, 270 sindiket lumpuh
Rampasan dadah rekod RM3.19 bilion sepanjang 2025, 270 sindiket lumpuh

SHAH ALAM, 27 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan nilai rampasan dadah dan racun berjumlah kira-kira RM3.19 bilion sepanjang 2025, hampir lapan kali ganda lebih tinggi berbanding RM388 juta yang dicatatkan pada 2024.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejayaan itu hasil operasi berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek penguatkuasaan.

“Menerusi operasi yang digerakkan sepanjang tahun lalu, JSJN berjaya melumpuhkan 270 sindiket dengan penahanan 737 ahli sindiket, berbanding 236 sindiket dan 714 tangkapan pada tahun sebelumnya.

“Pembongkaran makmal haram juga meningkat kepada 55 makmal berbanding 44 makmal pada 2024, manakala nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun dianggarkan RM3.19 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi Januari 2026 anjuran JSJN di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, lonjakan ketara itu bukan sahaja mencerminkan aktiviti pengedaran dadah yang semakin agresif, malah membuktikan keupayaan JSJN mengekang kemasukan bekalan dadah ke dalam masyarakat.

Dalam usaha melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket, beliau berkata JSJN turut menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta serta melucuthak harta hampir RM31 juta sepanjang 2025.

“Angka ini meningkat berbanding 2024 yang merekodkan sitaan sekitar RM100 juta dengan pelucuthakan hampir RM14 juta,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Khalid memaklumkan jumlah tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 mencatatkan penurunan kepada 811 tangkapan pada 2025 berbanding 1,111 tangkapan pada 2024, iaitu penurunan 27 peratus.

Menurutnya, penurunan itu menunjukkan keberkesanan langkah pencegahan yang dilaksanakan selain kejayaan menumpaskan sindiket utama yang sebelum ini menyumbang kepada statistik tangkapan di bawah peruntukan tersebut.

“Secara keseluruhan, statistik 2025 mempamerkan komitmen serta keberkesanan operasi dan risikan JSJN dalam memerangi ancaman dadah, sekali gus melindungi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.