SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh agenda wakaf pendidikan apabila menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM23,000 bagi menaik taraf kemudahan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa, Jeram, Kuala Selangor.
Sumbangan berkenaan disampaikan menerusi penyerahan cek cura oleh Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan PWS, Ibnu Hubain Abdul Aziz kepada Guru Besar SK Tambak Jawa, Hatif Azmi sebagai simbol kerjasama strategik antara institusi wakaf dan institusi pendidikan.
PWS memaklumkan inisiatif tersebut bertujuan menyokong usaha meningkatkan kemudahan prasarana sekolah sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid dan warga pendidik.
Dalam program sama, satu sesi taklimat wakaf turut diadakan kepada pihak pengurusan sekolah bagi memberi pendedahan serta kefahaman mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan mampan, khususnya dalam menyokong keperluan pendidikan dan kebajikan generasi akan datang.
Menurut PWS, usaha itu membuktikan wakaf bukan sekadar ibadah, malah berperanan sebagai pemangkin perubahan sosial yang mampu memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat apabila diurus secara sistematik dan berintegriti.
"Ayuh masyarakat, teruskan menyokong wakaf pendidikan. Setiap sumbangan anda adalah pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak-anak dan kesejahteraan ummah," kata PWS menerusi Facebook semalam.



