ad

Perbadanan Wakaf Selangor salur RM50,000 bina pusat komuniti Masjid Nurul Iman

11 Nov 2025, 4:24 AM
Perbadanan Wakaf Selangor salur RM50,000 bina pusat komuniti Masjid Nurul Iman

SHAH ALAM, 11 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah sebanyak RM50,000 kepada Masjid Nurul Iman, Ijok, sempena program Mesra Masjid peringkat Kuala Selangor pada Sabtu lalu.

Menurut Facebook PWS, sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada Pelancaran Dana Wakaf Khas Kompleks Masjid Baharu Nurul Iman yang bakal menjadi pusat tumpuan komuniti setempat bagi aktiviti keagamaan, sosial dan pendidikan.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Pengurus Bahagian Korporat PWS Muhammad Hafiz Bahari yang diterima wakil pentadbir masjid serta disaksikan penceramah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Majlis tersebut turut diserikan dengan forum bertajuk 'Mencari Bahagia Abadi' yang menampilkan Ustaz Mohd Kazim dan Dekan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai panelis.

Penganjuran program Mesra Masjid merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Masjid Nurul Iman dan juga PWS.

Wakaf tunai boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp atau secara potongan bulanan di Sistem Borang Online PWS (https://bo.wakafselangor.gov.my) bermula 1 Januari 2025.