SHAH ALAM, 31 OKT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM95,000 bagi menambah baik kemudahan dua institusi pendidikan sekitar Klang dan Sepang.
Agensi itu memaklumkan, sumbangan RM45,000 diserahkan kepada Sekolah Kebangsaan (2) Jalan Meru, Klang untuk menaik taraf kelas pemulihan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan kondusif kepada murid.
Selain itu, KAFA Integrasi Baitul Hikmah, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menerima wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 untuk pembelian bangunan tiga tingkat bagi keselesaan pembelajaran dan pengajaran.
Pada sesi penyampaian PWS turut menyampaikan taklimat wakaf kepada warga pendidik sekolah tersebut.
“Kaunter Wakaf PWS turut dibuka bagi memberi peluang kepada guru dan kakitangan menunaikan ibadah wakaf serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif PWS.
“Wakaf mendidik, membina, dan mengangkat martabat ilmu untuk manfaat ummah sepanjang zaman,” katanya menerusi Facebook.
Layari Wakaf Selangor Online https://fpx.wakafselangor.gov.my/ atau https://infaqpay.my/go/wakafselangor untuk berwakaf tunai.





