Saksi dedah Zara Qairina pernah difitnah pelajar senior

26 Jan 2026, 12:27 PM
Saksi dedah Zara Qairina pernah difitnah pelajar senior

SHAH ALAM, 26 JAN: Allahyarham Zara Qairina Mahathir dilaporkan pernah berasa takut terhadap pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha sebelum kes beliau ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu.

Peguam Rizwandean M Borhan berkata, Zara Qairina memaklumkan kepada saksi ke-59 bahawa dia pernah difitnah oleh pelajar senior yang menuduhnya bercakap buruk di belakang mereka walaupun perkara itu tidak pernah dilakukan, lapor Berita Harian.

Katanya, saksi berkenaan yang juga seorang kanak-kanak memberi keterangan bahawa pada Mei tahun lalu, dia pernah meminta Zara Qairina menemaninya ke blok akademik sekolah yang memerlukan mereka melalui kawasan berhampiran bilik pelajar senior.

"Apabila dia meminta Zara (Qairina) menemaninya, Zara berkata dia takut, namun akhirnya Zara tetap mengikutinya.

"Ketika mereka naik ke tingkat atas, mereka terdengar seorang pelajar senior berkata 'getek' (dialek Sabah bermaksud miang, gatal atau gedik). Zara kemudian terus berkata kepada saksi, 'kan saya dah cakap'," katanya.

Rizwandean berkata, itulah sebabnya saksi memberitahu bahawa Zara Qairina pada awalnya takut untuk naik bersama-sama dengannya, sambil menambah bahawa saksi sama turut memberi keterangan pernah menghadapi fitnah yang hampir sama dalam kes lain.

Mengenai saksi ke-60 yang juga seorang kanak-kanak, Rizwandean berkata, saksi itu memberi keterangan berkaitan kejadian pada malam 15 Julai apabila Zara Qairina dipanggil oleh pelajar senior, selain menggambarkan Zara Qairina sebagai seorang yang ceria dan pemurah.

Katanya, saksi berkenaan mengingati bagaimana Zara Qairina pernah menambah nilai wang untuknya ketika mereka pergi ke kantin.

"Selepas itu, Zara berkata, 'tak apa, tak payah bayar balik. Saya tambah duit untuk kamu, kamu tak perlu ganti'.

"Saksi juga berkata Zara suka menyapa orang dan seorang yang menghormati pelajar senior.

"Apabila ditanya maksud menghormati, dia menjelaskan bahawa setiap kali Zara berselisih dengan senior, dia akan menundukkan kepala sedikit dan memberi salam," katanya.

Sementara itu, peguam Joan Goh berkata, seorang saksi kanak-kanak akan dipanggil semula esok selepas didedahkan bahawa saksi itu pernah menyerahkan satu beg plastik berisi rantai kunci dan beberapa nota kepada seorang guru.

Mahkamah Koroner dimaklumkan mengenai perkembangan itu selepas bekas ketua warden, Azhari Abd Sagap, memberi keterangan berhubung penyerahan barangan berkenaan minggu lalu.

"Kami mahu tahu mengapa saksi itu menyerahkan barangan berkenaan kerana guru terbabit memaklumkan bahawa dia tidak mahu menyimpan apa-apa barangan milik Zara.

"Kami mahu saksi kanak-kanak itu memberi keterangan mengapa dia memulangkan barangan tersebut. Salah satunya, saya percaya, ialah rantai kunci berbentuk avokado," katanya.

Rizwandean mewakili ahli keluarga Zara Qairina, manakala Goh mewakili salah seorang pelajar yang didakwa dalam kes buli membabitkan rakan sekolahnya.

Inkuiri itu yang memasuki hari ke-56 hari ini bermula pada 3 September tahun lalu selepas Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.