ad

Inkues Zara Qairina: Larangan liputan media kekal hingga saksi kanak-kanak tamat keterangan

25 Sep 2025, 12:47 PM
Inkues Zara Qairina: Larangan liputan media kekal hingga saksi kanak-kanak tamat keterangan

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Mahkamah Koroner di sini hari ini mengekalkan status quo untuk tidak membenarkan pengamal media membuat liputan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir melibatkan saksi kanak-kanak yang mula memberi keterangan sejak Isnin lepas.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas Pengarah Pendakwaan Sabah merangkap pengendali inkues Nahra Dollah memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membenarkan media berada dalam prosiding berkenaan sehingga semua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan.

Bagaimanapun, Amir Shah berkata pihak media boleh mendapatkan maklumat berhubung prosiding berkenaan melalui peguam yang terlibat selepas kes tamat.

Perkara itu disahkan Nahra serta peguam Datuk Ram Singh dan Shahlan Jufri ketika ditemui selepas prosiding inkues yang memasuki hari ke-14, hari ini.

Semalam, Nahra memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkaitan liputan media kes berkenaan berikutan saksi kanak-kanak telah mula memberi keterangan.

Beliau memaklumkan demikian apabila Amir Shah bertanyakan sama ada media boleh dibenarkan untuk membuat liputan prosiding memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak.

Sejak Isnin, petugas media tidak dibenarkan memasuki ruang mahkamah semasa keterangan secara tertutup bagi melindungi identiti saksi kanak-kanak dan setakat ini, tiga saksi pelajar telah memberi keterangan.

Sebanyak 32 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.

Selain itu, setakat ini, lapan saksi dewasa telah memberikan keterangan dalam prosiding itu, dengan 25 saksi dewasa dijangka memberi keterangan pada sesi akan datang.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan dan selepas meneliti laporan siasatan polis, AGC pada 13 Ogos mengarahkan agar inkues dijalankan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.