SUBANG JAYA, 26 JAN: Kerajaan Selangor mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina lebih awal pada 7 Februari ini bagi memastikan semua komuniti berpeluang menyertai perayaan bersama-sama.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata program yang dijadualkan berlangsung di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong, mulai 5 petang hingga 10 malam, dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai kaum.

“Walaupun Tahun Baru Cina jatuh pada 17 Februari, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif menganjurkan sambutan lebih awal. Keputusan ini dibuat untuk mengelakkan pertindihan dengan permulaan Ramadan yang dijangka bersamaan musim perayaan.
“Ini bagi memastikan perayaan komuniti berjalan lancar, menghormati umat Islam yang berpuasa, dan membolehkan semua kaum serta kepimpinan negeri meraikan bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan perayaan itu di ibu pejabat Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Dato’ Hasan Azhari Idris.
Sze Han berkata sambutan tahun ini menampilkan acara campur beras menggantikan tradisi yee sang, diketuai Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pegawai kanan kerajaan.
“Konsep campur beras dipilih sebagai simbol penglibatan komuniti melalui pemberian dan perkongsian beras, yang melambangkan perkongsian kemakmuran, keberkatan, dan pengukuhan perpaduan antara semua kaum,” katanya.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Invest Selangor dan MBSJ, bertujuan mendekatkan perayaan kepada masyarakat serta memastikan semua lapisan masyarakat dapat merasai kemeriahan CNY.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai persembahan sepanjang malam, termasuk tarian kebudayaan, muzik secara langsung, tarian jalanan dan singa, persembahan wayang kulit serta pertunjukan cahaya selain pemberian 1,500 sampul duit raya untuk kanak-kanak dan 5,000 pek beras kecil sebagai cenderahati.
Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, Sze Han menasihati pengunjung menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pengangkutan awam seperti bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) dengan jadual boleh diperoleh melalui aplikasi Rapid On Demand.


