Selangor sambut baik kelulusan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey

13 Mac 2026, 11:31 AM
Selangor sambut baik kelulusan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Selangor menyambut baik keputusan Jemaah Menteri meluluskan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey yang dijangka memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara hab maritim utama dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelulusan berkenaan merupakan satu keputusan bersejarah yang mampu melonjakkan lagi potensi Pelabuhan Klang yang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan utama dunia.

Menurutnya, Pelabuhan Klang kini mengendalikan kira-kira 14.64 juta unit kontena bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024, sekali gus menunjukkan kepentingan pelabuhan tersebut dalam rantaian perdagangan global.

“Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk meluluskan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey, Selangor.

“Saya amat yakin keputusan kelulusan bersejarah ini mampu melonjakkan lagi kedudukan Pelabuhan Klang yang kini antara 10 pelabuhan utama dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyambut baik keputusan Jemaah Menteri meluluskan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata usaha pembangunan pelabuhan berkenaan telah digerakkan Kerajaan Negeri sejak 2023 dan mencapai kemuncak selepas pertemuan bersama Perdana Menteri serta Menteri Pengangkutan pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini akan memberi tumpuan kepada penyediaan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey yang bakal diterajui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pelan induk tersebut akan merangkumi pembangunan infrastruktur utama termasuk utiliti, tenaga boleh baharu, pengangkutan awam, keterhubungan digital, kawasan perindustrian serta perumahan, di samping memastikan pemeliharaan komuniti tempatan termasuk tanah rizab Melayu dan kawasan Orang Asli di Pulau Carey.

“Kerajaan Negeri juga komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan serta agensi Persekutuan bagi memastikan pembangunan ini dapat dioptimumkan dan mewujudkan Zon Ekonomi Khas di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pembangunan pelabuhan tersebut dijangka menjadi pintu utama kemasukan peluang ekonomi bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada rantau Asia Tenggara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.