Dua penjaga tadika ditahan, polis terima lima laporan kanak-kanak dipukul

26 Jan 2026, 12:06 AM
Dua penjaga tadika ditahan, polis terima lima laporan kanak-kanak dipukul

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan empat kanak-kanak di sebuah tadika di Sungai Buloh, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima lima laporan berhubung kejadian itu kelmarin di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh dan turut menemukan satu rakaman video berkaitan perkara tersebut sebagai bahan bukti.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku Julai hingga Ogos tahun lalu membabitkan empat kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun.

“Dua wanita yang merupakan penjaga kanak-kanak dibenarkan reman lima hari oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam dan seorang lagi akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hafiz berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi serta menyebarkan berita palsu berhubung kejadian berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Saujana Utama 03- 60382222 atau pegawai penyiasat Insp Muhammad Syahir Abdul Halim 016-3423258.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi hantaran mendakwa memiliki rakaman video yang menunjukkan anaknya disyaki didera di sebuah tadika di Saujana Utama, selain mendakwa mempunyai video anak orang lain turut didera.

- BERNAMA